Jika tidak kerana kesungguhan Suara
Rakyat Malaysia (Suaram) mahu memalukan kerajaan dalam isu pembelian kapal
selam Scorpene, mungkin ramai yang masih menganggap Suaram sebenarnya berjuang
atas kapasiti hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
Bagaimanapun, keghairahan luar biasa
Suaram membawa isu tersebut sehingga ke mahkamah di Perancis dan kesanggupan
mengadakan sidang akhbar berkenaannya di luar negara dengan kehadiran media
asing mengundang pertanyaan banyak pihak mengenai matlamat sebenar pertubuhan
ini.
Apa perlunya Suaram dengan kapasiti
sebagai sebuah pertubuhan hak asasi manusia campur tangan sejauh itu dalam isu
pembelian kapal selam Scorpene? Suaram mungkin berasakan bertanggungjawab
mendedahkan apa yang dianggap mereka transaksi meragukan dalam pembelian kapal
selam tersebut. Namun apa yang menghairankan tidak ada mana-mana pihak termasuk
di Perancis sendiri mengesahkan perkara tersebut.
Dalam hal ini, Suaram sebenarnya sudah
mendahului proses mahkamah di Perancis jika proses itu benar-benar berlaku dan
menyebarkan pelbagai fakta yang hanya mereka dapat mengesahkannya. Ketika
Suaram ghairah mencanangkan kepada dunia betapa tidak telusnya kerajaan
Malaysia, pertubuhan itu sendiri rupa-rupanya wujud dan beroperasi secara penuh
misteri.
Suaram meskipun mengaku dan bertindak
sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi tidak berdaftar dengan
mana-mana jabatan atau agensi kerajaan. Berdasarkan laman web Suaram,
aktiviti-aktiviti mereka dikelaskan sebagai berkaitan 'perlindungan dan kesedaran
mengenai hak asasi manusia di Malaysia tanpa mengambil kira kerajaan hari ini'.
Pengkelasan itu sendiri menimbulkan
tanda tanya kerana tindak-tanduk Suaram selama ini tidak menunjukkan mereka
bergerak sejajar dengan aspirasi 'kerajaan hari ini' melainkan Suaram sudah
mengiktiraf pembangkang sebagai kerajaan hari ini.
Namun melihat kepada individu di
sebalik Suaram, kecenderungan mereka sebagai lidah rasmi atau sayap politik
kepada parti pembangkang bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebahagian besar
penggeraknya seperti adalah pemimpin Rakyat (PKR).
Dengan dibarisi sebahagian besarnya
pemimpin pembangkang dan mereka yang secara terang-terangan berkiblatkan kepada
pembangkang, Suaram sepatutnya berasa malu untuk mengakui mereka tidak memihak
pada mana-mana parti.
Sepatutnya jika Suaram beranggapan
berada di landasan betul dalam perjuangan mereka, pertubuhan itu tidak perlu
bersembunyi di sebalik nama hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
Isytiharkan sahaja siapa mereka sebenarnya serta orientasi serta kecenderungan
sokongan mereka terhadap pembangkang.
Dengan cara itu, adalah lebih mudah
untuk masyarakat menilai apakah matlamat sebenar penubuhan Suaram serta
syarikat yang dikaitkan dengannya seperti Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara
Inisiatif). Pada masa sama, kita juga tidak mahu masyarakat dunia tertipu
dengan perjuangan Suaram kononnya menegakkan hak asasi manusia di negara ini
sehingga sanggup berjuang di pentas antarabangsa.
Tanpa boleh dinafikan, masyarakat
antarabangsa melihat Suaram sebagai pertubuhan yang cukup agresif dan paling
hadapan dalam perjuangan mereka. Sedangkan hakikatnya, Suaram mempunyai agenda
lain daripada setiap pergerakan mereka iaitu untuk memburuk-burukkan kerajaan
serta membuka kepada campur tangan asing dalam urusan dalaman negara. Dalam hal
ini, Suaram menerusi Suara Inisiatif dilihat membuka pintu yang luas kepada
campur tangan asing menerusi penyaluran dana dalam jumlah yang besar.
Kesanggupan Suara Inisiatif menerima
dana daripada National Endowment for Democracy (NED) dan Open Society Institute
(OSI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) misalnya adalah tindakan yang
meragukan. Dari sudut objektif penubuhan Suara Inisiatif iaitu sebagai sebuah
entiti perniagaan, mereka tidak sewajarnya menerima dana untuk menggerakkan operasi
kerana sumber pendapatan utama sepatutnya datang daripada aktiviti perniagaan.
Ia hanya boleh berlaku melainkan Suara
Inisiatif dipergunakan pihak tertentu untuk kepentingan peribadi seperti medium
penyaluran dan penerimaan sumbangan serta perbelanjaan kepada pihak berkaitan.
Pihak berkaitan itu pula boleh berkemungkinan Suaram yang turut mempunyai
kaitan dengan Suara Inisiatif.
Adalah wajar pihak berkuasa seperti
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN) segera menyiasat aktiviti-aktiviti meragukan seperti ini. Paling tidak,
Suara Inisiatif dan Suaram perlu mengisytiharkan cukai pendapatan dan
penerimaan dana asing, membayar cukai pendapatan serta menyemak semula jika
terdapat pengisytiharan pendapatan yang dibimbangi palsu.
Penyumbang utama
Lebih meragukan sebenarnya adalah
keterlibatan OSI dan NED sebagai penyumbang utama dana kepada Suara Inisiatif.
Dua pertubuhan itu serta Konrad Adenauer Foundation (Konrad) adalah antara
pertubuhan asing yang dikesan menyalurkan dana kepada NGO di Mesir untuk
menggerakkan kebangkitan Arab Spring. Penyangak mata wang, George Soros adalah
antara tokoh Yahudi yang berada di belakang pertubuhan-pertubuhan asing itu.
Arab Spring adalah contoh terbaik
kejatuhan sebuah kerajaan dan kehancuran sebuah negara hasil campur tangan
jahat kuasa asing yang berselindung di sebalik demokrasi dan hak asasi manusia.
Revolusi yang dihalalkan dengan nama kebangkitan rakyat itu ditaja untuk
memastikan pemerintahan Islam gugur dan digantikan dengan pemimpin boneka yang
boleh dicucuk hidung mereka.
Sehingga hari ini iaitu selepas lebih
setahun berlakunya Arab Spring, perubahan lebih baik yang diharapkan rakyat
Mesir dan Libya masih tidak berlaku sebaliknya kegawatan ekonomi semakin
memburuk di negara tersebut. Kaitan OSI, NED, Konrad dan Soros sebenarnya sudah
cukup untuk menyedarkan kita dana asing itu tidak disalurkan dengan niat baik
melainkan mengharapkan kehancuran di negara-negara yang dicampuri mereka.
Perkara itu pernah dilakukan Soros
ketika krisis ekonomi melanda Asia Tenggara pada 1997 dan 1998 yang hampir
menyaksikan Malaysia terpaksa tunduk kepada bantuan kewangan dunia. Soros serta
pertubuhan-pertubuhan di belakangnya bukanlah pihak yang boleh dipercayai
apatah lagi untuk diharapkan dana waima untuk menggerakkan aktiviti bersifat
kemanusiaan atau kerohanian sekali pun.
Sangat menakutkan tangan-tangan ghaib
itu ketika ini sudah bertapak di Malaysia dan berselindung di sebalik pelbagai
NGO terutamanya berkaitan perjuangan hak asasi manusia. Tidak hairan, budaya
demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram seperti yang berjaya digerakkan di
Dataran Tahrir turut berlaku di Dataran Merdeka. Sehingga kini, demonstrasi
jalanan itu tidaklah sehingga mampu menumbangkan kerajaan sedia ada walaupun sudah
beberapa kali digerakkan.
Namun ia tidak bererti apa yang
berlaku di Mesir tidak boleh berulang di negara ini dan salah satu pendorongnya
adalah penyaluran dana asing bagi menggerakkan NGO menghasut rakyat merusuh di
jalanan. Sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi
berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan, amalan pemerintahan
sebegini tidak disenangi Barat kerana kononnya tidak sepenuhnya demokrasi.
Inilah yang menjadi titik serangan
Barat terhadap kerajaan sedia ada hari ini untuk ditumbangkan supaya sistem
pemerintahan yang diamalkan negara sejak sekian lama dapat digantikan dengan
kerajaan boneka ciptaan mereka. Cita-cita kuasa asing itu menjadi lebih mudah
menerusi bantuan NGO serta pihak-pihak dalam negara yang sanggup melakukan apa
sahaja untuk berkuasa sekali pun sehingga ke tahap menggadaikan negara.
Jika perkara ini dapat diperhalusi
sedalamnya agenda kuasa asing itu terutamanya menerusi demonstrasi jalanan dan
perhimpunan haram sudah tentu tidak akan berjaya malah ditentang seluruh rakyat
negara ini yang benar-benar cintakan negara.
*Artikel ini ditulis oleh Mohd Khuzairi Ismail
Tiada ulasan:
Catat Ulasan