Perlantikan ADUN PAS, Dr Ahmad Yunus Hairi dari Sijangkang bagi menggantikan Datuk Dr Hassan Ali yang digugurkan sebagai exco Selangor yang baru mengejutkan banyak pihak, termasuk orang PAS sendiri.
Ini kerana semua sudah maklum bahawa PAS hanya mencadangkan satu nama saja sebagai calon untuk dilantik exco berkenaan iaitu Dr Rani Osman selaku Pesuruhjaya PAS Selangor. Penolakan oleh Istana ini dikatakan ada kaitan dengan kenyataan Dr Rani sendiri sebelum ini yang mempertikaikan bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu tauliah kepada penceramah agama dinegeri itu.
Maka Istana memilih Dr Ahmad Yunus sebagai calon yang sesuai untuk kerusi exco yang telah ditinggalkan oleh Hassan Ali yang sebelumnya menjaga portfolio Agama Islam, Adat Resam Melayu, dan Kemudahan Infrastruktur Awam.
Namun sebaik angkat sumpah perlantikan di Istana, selepas menyertai mesyuarat exco yang pertama, MB Selangor Khalid Ibrahim umumkan Dr Ahmad Yunus akan menjaga portfolio Belia dan Sukan, bukannya Agama Islam dan Adat Resam Melayu yang telah diambil alih oleh beliau sendiri.
PAS dalam hal ini rugi dua kali. Exco berwibawa seperti Hassan Ali dan juga kerusi exco Agama Islam dan Adat Resam Melayu, -kerusi yang telah digembar-gemburkan sebagai kerusi tetap mereka sesuai dengan kedudukan parti mereka.
PKR pula dalam isu ini dua kali cerdik, berjaya desak buang Hassan Ali dan juga berjaya mengambil alih kerusi panas berkenaan dari tangan PAS.
Persoalannya adakah percaturan pembahagian jawatan untuk exco ini berada dalam pengetahuan Sultan Selangor? Kita percaya penolakan perlantikan Dr Rani untuk jawatan itu juga dengan andaian kebimbangan baginda terhadap kebolehan melaksanakan tugas sebagai seorang exco agama nanti. Maka kerana itu baginda memilih Dr Ahmad Yunus untuk diangkat sebagai exco. Namun sebaik dipilih jadi exco, lain pula percaturan yang dibuat oleh Khalid Ibrahim.
Dalam hal ini nampaknya orang Melayu dibawah Khalid Ibrahim tak menang apa satu pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan